KUALA LUMPUR: Sekumpulan lapan gadis remaja bawah umur dipaksa  melacur  oleh satu sindiket pelacuran jika mahu mendapatkan makanan.
Difahamkan, kumpulan gadis warga Filipina terbabit perlu melayan   pelanggan sebaik mungkin dan tip daripada layanan yang diberi akan   diserahkan kepada ibu ayam sebelum digunakan untuk membeli makanan.
Namun jika gagal mendapatkan tip daripada pelanggan, mereka dihukum   ibu ayam terbabit dengan dibiarkan kelaparan sedangkan wang bayaran   perkhidmatan pelacuran RM350 diambil sindiket.
Berdasarkan   maklumat, semua lapan gadis berusia 14 hingga 27 tahun terbabit   diperdaya seorang ibu ayam yang mengajak mereka datang ke Sandakan,   Sabah kononnya untuk bekerja sebagai pelayan restoran dengan gaji   lumayan RM2,500 sebulan.
Tertarik tawaran itu, semua mangsa   yang berasal dari selatan Filipina diseludup ke negara ini menggunakan   bot laju  sebelum disembunyikan di sebuah rumah di Sandakan, Sabah.
Mangsa bagaimanapun dipaksa melacur dengan modus operandi dihantar   sindiket menaiki kenderaan kepada pelanggan yang membuat tempahan sama   ada mengikut jam atau sekali perkhidmatan dengan kadar RM150 hingga   RM350.
Difahamkan semua wang bayaran khidmat pelacuran itu   diambil keseluruhannya oleh sindiket manakala mangsa diarah mencari wang   tip sendiri.
Bagaimanapun, selepas lebih dua bulan dipaksa   melacur dengan tidak diberi makan, mangsa nekad melarikan diri dari   rumah itu sebelum meminta bantuan seorang pesara tentera yang ditemui di   hadapan sebuah kedai.
Lelaki berusia 40-an itu segera   membantu dengan membawa semua mangsa menaiki dua teksi menuju Telupit,   Sabah bagi mengelak dijejaki sindiket terbabit.
Pesara   tentera berkenaan menempatkan semua mangsa di sebuah hotel murah   beramai-ramai sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Difahamkan, ketika ditemui semua gadis terbabit dalam keadaan trauma dan   ketakutan melampau berikutan pengalaman ngeri pernah dialami selepas   dijual sebagai hamba seks.Semua mangsa sengaja ditakutkan ibu ayam  terbabit mereka akan  ditahan pihak berkuasa jika melarikan diri  berikutan tidak mempunyai  pasport dan dokumen perjalanan sah ke  Malaysia.
Berdasarkan soal siasat polis, mangsa mendakwa  pernah tidak diberi makan  tiga hari oleh ibu ayam selepas gagal  memperoleh tips daripada  pelanggan.
Namun mangsa dianggap  bijak kerana sempat  melarikan gambar ‘ibu ayam’ terbabit yang turut  mengandungi maklumat  nama serta alamat pada belakang gambar itu sebelum  bukti itu diserahkan  kepada polis.
Bersandar maklumat  penting itu, polis menyerbu  sebuah rumah di Taman Mawar, Sandakan,  sebelum memberkas ibu ayam  terbabit yang tinggal di rumah berkenaan  bersama seorang ahli sindiket  lelaki berusia 41 tahun   Hasil siasatan  lanjut mendapati ibu ayam  berusia 25 tahun itu wanita warga Filipina,  namun mempunyai dokumen  perjalanan masuk sah ke negara ini dan  dipercayai pernah memperdaya  ramai gadis.

 
 
 
0 comments:
Post a Comment